• Muhidin

PENGURUSAN HARTA DALAM ISLAM


Harta merupakan suatu yang sangat penting dalam kehidupan dan ia merupakan antara asas kehidupan manusia. Justeru Islam telah menetapkan dasar dan panduan dalam mengurus harta di dunia ini. Konsep pengurusan harta bermula dari aspek perolehan harta. Aspek perolehan harta berkaitan bagaimana harta itu diperolehi dan syariat Islam telah menetapkan garis panduan halal dan haram dalam usaha memperoleh harta. Asas perolehan harta dalam Islam mestilah berasaskan keadilan, kerelaan dan tidak ada unsur riba’ dan gharar (penipuan). Kerana itulah setiap akad (kontarak) dan transaksi ada syarat-syarat tertentu untuk memastikan unsur kerelaan, keadilan dapan direalisasikan dan memastikan tiada unsur riba’, judi dan gharar.


Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 275 yang bermaksud;

Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, pada hal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang kembali (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya (alBaqarah:275)


Rasulullah s.a.w sewaktu peristiwa Haji Wada’, Rasulullah SAW bersabda: Wahai orang ramai, sesungguhnya orang yang beriman adalah bersaudara, tidak halal bagi seseorang pun mengambil harta saudaranya melainkan dengan kerelaannya (Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim). Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang menipu maka dia bukan dari kalanganku.” (tidak akan masuk syurga bersama Nabi).

Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. pernah melalui seorang laki-laki yang sedang menjual makanan (biji-bijian). Baginda sangat mengaguminya, kemudian memasukkan tangannya ke dalam tempat makanan itu, apabila dilihatnya makanan itu nampak basah, maka bertanyalah beliau: Apa yang dilakukan oleh pemilik makanan ini? Ia menjawab: Kena hujan. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda: “Mengapa tidak kamu letakkan yang basah itu di atas, supaya orang lain mengetahuinya?! Sesiapa yang menipu, bukanlah (mereka) dari golongan kami (Islam)” (Riwayat Muslim)


Dari sudut perbelanjaan, walaupun Islam memberikan hak pemilikan kepada manusia tetapi dalam mengurus perbelanjaan mestilah menepati garis panduan Islam juga di mana asas perbelanjaan mestilah pada perkara yang dibenarkan oleh syariat. Antara perkara yang perlu diambil kira ketia berbelanja ialah faktor hukum samada wajib, sunat, haram, makruh atau harus, kesederhanaan, pembaziran, implikasi baik dan buruk dan lain-lain agar maqasid syariah berkaitan pengurusan harta dapat direalisasikan.


Pengurusan perolehan dan perbelanjaan harta yang kita miliki akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi; Tidak akan berganjak kaki anak Adam pada hari kiamat sehingga dia disoal empat perkara, iaitu; tentang usianya, pada apa dihabiskannya, tentang masa mudanya untuk apa telah dipergunakannya, tentang hartanya dari mana diperoleh dan ke mana telah dibelanjakannya dan tentang ilmunya apa yang telah diamalkannya.” (Riwayat At-Tirmizi).


Justeru dalam usaha mencari dan mengumpul harta panduan syara’ mestilah dipatuhi untuk memastikan harta yang diperolehi halal lagi baik dan apabila membelanjakan, juga perlu mengikut panduan syara’ agar ia diberkati Allah dan mencapai maqasid syariah dalam pengurusan harta.


17 views0 comments

Recent Posts

See All