• Muhidin

Remaja & Keremajaan

​Remaja merupakan satu tempoh yang sering dikaitkan dengan kebebasan, sikap tidak matang, suka melawan memberontak, perangai kegilaan dan lain-lain lagi. Ada yang memandang remaja sebagai tempoh. Ada yang menganggap bahawa zaman ini akan berlalu dan anak-anak akan matang dengan sendiri namun ramai juga memandang bahawa ia merupakan zaman yang boleh mempengaruhi dan menentukan masa depan anak remaja tersebut. Pandangan terakhir adalah pandangan bijak jika sekiranya anda merupakan ibu bapa. Bayangkan apa yang berlaku jika di waktu remaja ini anak melakukan kesilapan jenayah? bukankah seluruh hidupnya nanti akan dipengaruhi oleh sejarah silamnya yang hitam? apatah lagi jika kesilapan itu membabitkan kehilangan keupayaan atau nyawa mereka sendiri.


​Mengikut seorang ahli psikologi Stanley Hall (1904) zaman remaja ialah jangka masa seseorang itu mengalami berbagai cabaran dan tekanan (storm and stress). Ini bermaksud remaja yang mengalami perubahan fizikal, intelek serta emosi dan terpaksa berhadapan dengan berbagai konflik di dalam dirinya dan juga masyarakat.Ringkasnya remaja merupakah tempoh transisi antara dua fasa iaitulah fasa kanak-kanak dan fasa dewasa. Pada waktu ini anak remaja kita akan mengalami perubahan dari pelbagai aspek dan perubahan tersebut juga turut membingungkan mereka. Maka sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai ibubapa untuk memahamkan kepada mereka tentang remaja dan bagaimana mengurus keremajaan mereka.


Usia Remaja & Ciri-cirinya


Anggaran usia remaja adalah menjelang 11-21 tahun. Tempoh ini boleh dibahagi kepada 3 tahap:

  • Tahap 1: 11-14 tahun dipanggil Awal Remaja

  • Tahap 2: 15 tahun -18 tahun dikenali sebagai remaja pertengahan

  • Tahap 3: 19 tahun – 21 tahun dipanggil Remaja Akhir.


Perbezaan tempoh ini berdasarkan kemampuan kematangan anak-anak remaja, semakin bertambah usia mereka diharapkan semakin matanglah pemikiran dan emosi mereka. Berikut dinyatakan ciri-ciri perkembangan yang ditempuhi oleh setiap remaja di fasa ini.


Perkembangan Fizikal dan Imej Badan:

Bagi remaja lelaki perubahan yang akan berlaku ialah suara menjadi semakin garau, misai dan janggut mula tumbuh, bahu dan dada menjadi bidang, jerawat mula tumbuh, pembesaran saiz zakar dan buah zakar begitu juga rerambut halus.


Bagi remaja perempuan pula perubahan yang akan dialami seperti buah dada (payudara) mula membesar, bulu tumbuh di celah ketiak dan bahagian ari-ari, Punggung melebar menunjukkan ciri-ciri kewanitaan, jerawat mula tumbuh, suara mungkin berubah dari suara keanak-anakan kepada suara yang lebih matang.


Perkembangan Akil Baligh;

Akil bermaksud akal waras yang aktif manakala Baligh bermaksud telah sampai, iaitu telah sampai tempoh umur dipertanggungjawabkan (taklif) dengan amanah yang disyariatkan. Kebiasaannya akil baligh ditandai dengan mimpi mengghairahkan bagi remaja lelaki dan haidh bagi remaja perempuan. Pada waktu ini juga mereka ada kecenderungan untuk berfikir tentang kelelakian, kewanitaan dan orientasi seksual.


Menurut Jean Jacques Rousseau (1712-1778), akil baligh bermula pada usia 15 tahun atau mungkin lebih awal dari yang dianggarkan. Pada masa ini, kanak-kanak melalui peringkat kedua kelahiran, bentuk badan mula berubah dan keinginan muncul dari dalam, "Perubahan angin, kemarahan, perubahan fikiran, membuatkan mereka tidak dapat mengawal". Mula berasa segan atau malu apabila berhadapan dengan kehadiran orang yang berlainan jantina, mereka mula merasai perasaan seksual. Dengan kata lain mereka mula tertarik antara satu sama lain.


Remaja juga mengalami perkembangan kognitif. Mereka sudah mampu menghadapi konsep yang lebih abstrak dan mula berminat dalam perkara-perkara yang melbatkan teori dalam pelajaran sains dan moral. Dalam Islam Akil Baligh merupakan tempoh pengiktirafan bagi remaja kita menjejaki usia dewasa dan mereka harus fokus kepada peranan, tanggungjawab, khidmat bakti dan komitmen.


Perkembangan Emosi;

Remaja umumnya memiliki perasaan yang tidak stabil, berkecamuk, mementingkan diri sendiri yang terkadang melampau (egosentrik), kemurungan atau mudah murung, kebimbangan sosial, mengagung-agungkan wira atau hero dan perasan seksual yang tidak matang. Perasaan malu yang kuat diselangi dengan rasa ego dan bebas dalam masa yang sama ingin disanjungi, diiktiraf dan diakui. Emosi yang tidak stabil boleh membantutkan perkembangan sikap remaja. Contohnya pembentukan identiti diri dan kecelaruan identiti, semangat pasukan yang sihat berkerjasama atau penglibatan dengan kumpulan samseng jalanan, buli dan sebagainya.


Mengamalkan pemakanan sihat atau kecelaruan makanan seperti anorexia, bulimia dan obes. Membawa wibawa kepimpinan atau kebimbangan yang melampau sehingga melibatkan penyalahgunaan bahan terlarang seperti dadah dan alkohol.


Perkembangan Pemikiran

Perkembangan pemikiran remaja sering keliru, kabur dan berperang antara pemikiran mereka sendiri dengan pemikiran orang lain. Sangat resah dengan tanggapan individu lain. Mudah terpengaruh dengan pemikiran luar kebiasaan dan menonjolkan kehebatan. Kekeliruan pandangan berpuncakan dari menekankan hal masalah berbanding jalan keluar. Remaja yang egosentrik ini sentiasa merasakan ada kamera khas focus kepada dirinya untuk menilai prestasinya secara terperinci istilah lain untuk keadaan ini adalah (mudah perasan).


Beberapa tanggapan dari pemikiran remaja:

  • Beranggapan masalah boleh diselesaikan sendiri dan tak perlu kepoh atau kongsi dengan orang dewasa lain (ibubapa)

  • Keinginan membuktikan keupayaan sendiri tanpa bantuan orang lain.

  • Keinginan mencuba apa sahaja sebagai satu pengalaman.

  • Tidak mahu ketinggalan dari rakan sebaya yang lain.

  • Keinginan untuk rasa hebat sekiranya dia menjadi pencetus pemikiran, aktiviti atau pengalaman.

  • Mampu memikirkan sebab dan akibat namun masih sangat cetek pengalaman.

  • Sering mempertikaikan tentang kenapa dia perlu buat apa yang dia kena buat.

Apa yang Remaja Perlukan?


Oleh kerana mereka masih belum matang sepenuhnya maka remaja mengharapkan orang dewasa memahami bahawa mereka sedang melalui proses perubahan. Perubahan itu penuh dengan bebanan dan tanggungjawab yang terpaksa mereka lalui dan kadang-kadang menyakitkan.


Kadang-kadang apa yang diucapkan tidak menyenangkan dan kasar bagi mata dan telinga yang mendengar. Tetapi mereka tidak sedar dan memerlukan bantuan untuk membimbing mereka menjadi insan yang berguna pada masyarakat.


Orang dewasa memerlukan kemahiran berkomunikasi untuk mendekatkan diri dengan anak remaja dan mendengar dengan aktif adalah satu cara yang dapat mendekatkan mereka.

Hubungan antara remaja dan orang dewasa akan rapat sekiranya ada keterbukaan atau ketelusan dan keikhlasan untuk membimbing.


Pandangan Islam terhadap Remaja


Pengiktirafan Kekuatan jiwa anak muda:

Allah telah memberikan pengiktirafan kepada pemuda dengan menonjolkan contoh pemuda Al-Kahfi atau Ashabul Kahfi, Allah memberikan pertolongan untuk menyelamatkan mereka dari ancaman kaum yang membenci mereka, sehingga mereka tertidur dalam gua (Kahfi) selama tiga ratus tahun. Allah memuji mereka dalam firman-Nya yang bermaksud :

“Ingatlah ketika para pemuda mencari tempat perlindungan ke dalam gua, lalu mereka berdo’a: Wahai Tuhan kami, berilah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini). Maka Kami tutup telinga mereka beberapa tahun dalam gua itu. Kemudian Kami bangunkan mereka, agar Kami mengetahui manakah di antara kedua golongan itu yang lebih tepat dalam menghitung berapa lama mereka tinggal (dalam gua itu). Kami kisahkan kepadamu (Muhammad) cerita ini dengan benar. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambah pula untuk mereka petunjuk.


Dalam ayat yang mulia ini, Allah mengiktiraf perjuangan anak muda dan kekuatan mereka mempertahankan iman mereka sewaktu diancam dan mengharungi pengaruh tidak baik di zaman mereka.


Ibnu Katsir menyatakan tentang ayat di atas:

“Al Fityah adalah para pemuda, mereka (para pemuda) adalah orang yang lebih mudah untuk menerima kebenaran serta mengikuti jalan petunjuk dibandingkan orang-orang yang sudah lanjut usia yang telah dimakan usia dan lenyap terjerumus dalam agama yang bathil. Karena itu yang paling banyak menerima seruan Allah dan Rasul-Nya shallallahu ‘alaihi wasallam adalah para pemuda. Adapun orang-orang tua dari suku Quraisy kebanyakan tetap kekal di atas agama nenek moyang mereka, tidak ada yang memeluk Islam kecuali sedikit, demikian pula yang Allah ceritakan tentang “Ashabul Kahfi bahwa mereka adalah para pemuda.”

(Tafsir Ibnu Katsir: 3/74)

Umur Remaja adalah Peluang Keemasan:


Dari Ibnu ‘Abbas, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, yang maksudnya:

“Manfaatkan lima perkara sebelum lima perkara: Waktu mudamu sebelum datang waktu tuamu, Waktu sehatmu sebelum datang waktu sakitmu, Masa kayamu sebelum datang masa kefakiranmu, Masa luangmu sebelum datang masa sibukmu, Hidupmu sebelum datang kematianmu.” HR. Al Hakim .


Mendapat perlindungan Allah di akhirat, Rasûlullâh Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda yang maksudnya:

Ada tujuh golongan manusia yang akan dinaungi oleh Allâh dibawah naungan ‘Arsynya pada hari tidak ada naungan selain naungan Allâh Azza wa Jalla (yaitu) : imam yang adil; Pemuda yang tumbuh dalam ibadah kepada Allâh Azza wa Jalla ; Seorang laki-laki yang mengingat Allâh dalam kesunyian (kesendirian) kemudian dia menangis (karena takut kepada adzab Allâh); Seorang laki-laki yang hatinya selalu bergantung dengan masjid-masjid Allâh; Dua orang yang saling mencintai, mereka berkumpul dan berpisah karena Allâh Azza wa Jalla ; Dan seorang laki-laki yang diajak berzina oleh seorang permpuan yang memilki kedudukan dan cantik akan tetapi dia menolak dan berkata, ‘Sesungguhnya aku taku kepada Allâh.’ Dan seorang laki-laki yang bersedekah dengan sesuatu yang ia sembunyikan, sampai-sampai tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya”. HR. Al-Bukhâri dan Muslim


Pemuda adalah harapan dan kesayangan Rasulullah s.a.w. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Aku berpesan kepada kamu supaya berbuat baik kepada pemuda, sesungguhnya hati mereka paling lembut. Allah telah mengutusku membawa agama Hanafiah lalu para pemuda bergabung dengan aku dan orang-orang tua menentang aku

HR Al-Bukhari


Faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya krisis dalam diri remaja:

  • Kurang penghayatan didikan agama

  • Keruntuhan Institusi keluarga

  • Pengaruh Rakan Sebaya

  • Kurang Pemantauan dan penapisan media

Mendidik Remaja melalui pendekatan Nabawi


  • Didik dari usia kecil lagi. Galakan Solat semenjak berusia 7 tahun

  • Mendekatkan remaja dengan institusi masjid

  • Pisahkan tempat tidur ikut jantina.

  • Membina akhlak islami

  • Ibubapa tidak mudah kecewa atau cepat mengalah

  • Santuni para remaja

  • Tawan hati mereka

  • Berlemah lembut

  • Menghargai dan mengakui kekuatan dan kelebihan mereka

  • Memberi kepercayaan kepada mereka

Kesimpulan


Remaja perlulah mendapat perhatian ibubapa kerana mereka merupakan asset utama masyarakat dan masa depan kita. Layanan kepada remaja serta bimbingan buat mereka harus berbeza penuh hikmah jika dibandingkan sewaktu usia mereka kanak-kanak. Berteman dan berkawanlah dengan mereka namun dalam masa yang sama hadirkan peranan keibubapaan kita di sisi mereka. Dalam erti kata lain jadilah ibubapa yang mesra dan mudah untuk digauli dan didekati anak-anak. Berusahalah membimbing remaja menurut panduan yang digariskan oleh Baginda Rasulullah SAW. Mereka perlu dididik sejak kecil, dihargai dan diberi tanggungjawab agar membentuk keperibadian mereka. Semua pihak perlulah berganding bahu serta tidak saling menyalahkan dalam menghadapi karenah para remaja.


by Muhidin Mokter

209 views0 comments