• Muhidin

Konsep Asuhan Gaya Nabi


Anak-anak adalah anugerah yang tidak ternilai buat ibubapa, kehadiran anak-anak dalam keluarga menjadikan keluarga lebih ceria dan gembira. Fitrah kemanusian, mereka akan bergembira dan ceria apabila mendapat cahaya mata dalam kehidupan mereka. Ibubapa dalam memenuhi dan melayan perasaan gembira dan ceria ini akan melakukan perkara-perkara besar dalam hidup mereka sebagai menyatakan rasa gembira dan bersyukur atas nikmat dan anugerah Allah dengan kehadiran insan baru dalam sebuah keluarga.


Kebiasaannya ibubapa tidak menghadapi masalah dalam melayan dan berurusan anak-anak khususnya ketika umur anak ini di bawah 12 tahun, kerana kebiasaannya anak-anak dalam usia ini sentiasa menurut dan mengikut nasihat dan arahan ibubapa mereka dalam semua perkara. Namun kebelakangan ini, ibubapa sudah mula risau kerana ada anak-anak sudah berani melawan dan tidak mendengar kata-kata dan nasihat ibubapa seawal 10 tahun, bahkan ada diantara anak-anak yang sanggup melawan, memukul bah mencederakan ibubapa mereka.


Anak-anak ini sering di hukum dangan hukuman anak derhaka, anak degil, anak nakal, anak tak guna, anak sampah masyarakat dan anda di antara mereka menerima hukuman fizikal samada dari ibubapa mereka dengan di rotan dan sebagainya atau dari pihak berkuasa dengan dipenjara dan lain-lain.


Wahai ibubapa anak-anak lahir dalam keadaan fitrah dan bersih, dan sebenarnya ibubapalah yang mencorak anak-anak mereka sebagaimana di jelaskan oleh Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua ibubapanyalah yang bertanggungjawab menjadikan meraka orang Yahudi, atau Nasrani atau Majusi.


Justeru, para ibubapa perlu melihat dan muhasabah semula, bagaimana mereka melayan dan berurusan dengan anak-anak, adakah dengan cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w sehingga melahirkan generasi gemilang pencorak kehidupan masyarakat? atau cara yang kita lakukan menyebabkan anak menjadi keras hati, pendendam, pemarah, rebel dan lain-lain tanpa kita sedari, kerana mungkin kita melayan anak-anak ikut perasaan, emosi dan rasa ego kita.


Layan Anak Sesuai Dengan Tahap Umur


Manusia adalah ciptaan Allah yang sangat unik kejadiannya, bertapa hebatnya Allah mencipta manusia dengan berbagai kelebihan dan kehebatan. Kehebatan ciptaan menunjukkan bertapa hebatnya pencipta. Manusia berkembang dan membesar dengan melalui beberapa peringkat dan tahap kehidupan.


Peringkat kehidupan manusia di alam dunia boleh dibahagikan kepada 5 peringkat;


1. Alam Roh

2. Pra-kehidupan (Janin dalam kandungan ibu)

3. Kehidupan dunia

4. Pra-Akhirat (Alam kubur)

5. Alam Akhirat (selepas Qiamat)


Melihat kepada 5 peringkat perjalanan kehidupan manusia, maka tempoh interaksi dan layanan ibubapa terhadap anak-anak adalah di peringkat kedua dan ketiga. Dua peringkat ini ibubapa perlu melayan dan berurusan dengan anak-anak sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w agar objektif dan matlamat kehidupan manusia di dunia ini tercapai sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah s.w.t, sama ada untuk anak-anak mahun ibubapa itu sendiri.


Anak dalam kandungan.


Anak dalam kendungan adalah sebahagian dari kahidupan anak didunia, secara fizikalnya anak ini belum hidup sendiri tetapi menumpang pada jasad ibunya dalam proses tumbesaran sehingga ia menjadi manusia yang sempurna. Bayi dalam kandungan yang sudah bernyawa selepas 120 berada dalam Rahim ibunya. Interaksi ibu dengan anaknya dalam kandungan sangat penting dalam membangunkan tiga perkara utama dalam kehidupan manusia iaitu;

  • · Meningkatkan kecerdasan otak bayi

  • · Keseimbangan komunikasi yang baik

  • · Membentuk peribadi yang baik

Jesteru ibubapa perlu melakukan proses pendidikan anak semenjak anak dalam kandungan lagi. Apa yang perlu dilakukan oleh ibubabapa di tahap ini? Apa yang boleh dilakukan oleh ibubapa ditahap ini adalah seperti berikut:


1. Berdoa.

Berdoa merupakan satu bentuk komunikasi dan layanan ibubapa terhadap anak-anak. Amalan berdoa untuk anak yang soleh dan solehah digalakkan sejak dari awal lagi kerana ia akan membentuk pemikiran dan mindset ibubapa dan doa yang dipohon kepada Allah s.w.t bukan sekadar untuk zuriat sendiri tetapi seluruh generasi akan datang.


Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, ketika Rasululullah s.a.w ditolak dan dihalau oleh penduduk Taif, dan malaikat menawarka untuk menghempap penduduk Taif dengan dua bukit besar iaitu bukit Qa’qain dan bukit Abu Qubais, lalu Rasululullah s.a.w berdoa dan berkata; Aku berharap agar Allah lahirkan dari keturunan mereka geberasi yang menyembah Allah dan tidak menyekutukan Allah, dengan yang lain.


Rasulullullah s.a.w juga dalam hadis Muttafaq alaih, menyarankan kepada pasangan suami isteri agar berdoa ketika hendak bersetubuh agar dijauhkan dari syaitan, dan dijauhkan anak yang dilahirkan dari syaitan selama-lamanya; Dengan Nama Allah, jauhkan kami dari syaitan, dan jauhkan syitan dari zuriat yang engkau berikan kepada kami,


Selepas bayi dilahirkan juga digalakkan berdoa, mohon Allah memberi keberkatan kepada bayi yang dilahirkan. Antara doa yang disarankan oleh salafus solehuntuk di baca ialah doa yang masyhur; Semoga Allah memberkati mu dengan anak yang dianugerahkan Allah, dan engkau bersyukur kepada Allah, di panjangkan umur dan mendapat kebaikannya.


2. Membaca Al-Quran.

Membaca al-Quran ketika anak dalam kandungan akan memberi kesan yang besar terhadap perkembangan janin dalam kandungan. Banyak kajian yang menunjukkan bahawa janin dalam kandungan berinteraksi dengan ibunya secara emosi dan fizikal. Justeru bacaan al-Quran ketika anak dalam kandungan adalah antara bentuk asuhan dan layanan kepada anak-anak. Anak-anak yang biasa didengarkan dengan bacaan al-Quran semasa dalam kandungan samada dari ibunya sendiri atau yang lain, insyaallah mudah untuk mendapat hidayah, menjadi anak yang soleh.


Mana-mana surah al-Quran adalah baik untuk dibacakan pada anak dalam kandungan namun salafussoleh menyarankan surah-surah terpilih untuk diamalkan oleh ibu-ibu mengandung. Antara surah yang disarankan ialah surah al-Fatihah, al-Baqarah, al-Imran, Aali Imran, Yusof, Ibrahim, Maryam, Luqman, al-Sajadah, al-Hujurat, al-Furqan, Yasin, al-Taubah.


3. Azan dan Iqamah

Azan dan Iqamah adalah amalan sunnah yang digalakkan pada ibubapa untuk melakukannya sejurus kelahiran bayi. Hikmahnya supaya suara dan perkataan pertama yang didengar oleh bayi selepas kelairannya adalah kalimah tauhid, kalimah membesarkan Allah, seruan menunaikan solat yang terkandung dalam azan dan iqamah. Ini menjadi persediaan awal anak ini untuk menerima seruan Islam dalam kehidupannya. Dalam sebuah hadis Abu Rafi’ meriwayatkan bahawa beliau melihat Rasulullah s.a.w mengazankan di telinga Hasan ketika Fatimah r.a melahirkannya.


4. Tahnik

Tahnik adalah satu proses merangsang anak-anak untuk menguatkan otot menghisap susu dari ibunya dengan meletakkan sesuatu yang manis dilangit-langit bayi seperti buah tamar yang dilembutkan atau madu dan sebagainya. Disamping itu ketika anak ini ditahnikkan, didoakan agar anak ini diberi kesihatan dan keberkatan dan menjadi anak yang soleh solehah. Proses penyusuan adalah satu proses yang sangat penting untuk tumbesaran anak ini. Justeru sunnah Nabi menyarankan agar dilakukan sebaik sahaja anak dilahirkan.


5. Memberi Nama.

Memberi nama anak adalah satu kemestian yang perlu dilakukan oleh ibubapa. Islam menegaskan agar anak diberikan nama yang baik. Ia akan menjadi identiti anak dan panggilan kepadanya. Berilah identiti dan panggilan yang baik pada anak. Sebaik-baik nama adalah Abdullah dan Abdul Rahaman, dan berilah nama yang mempunyai makna yang baik, sama ada dalam bahasa Arab atau bahasa yang lain. Jangan sesekali menamakan dengan nama yang diharamkan dalam Islam seperti nama yang khusus bagi Allah atau yang sangat keji dan buruk seperti nama berhala dan sebagainya.


6. Menyembelih Aqiqah

Antara amalan sunat dilakukan ialah memyembelih aqiqah pada hari yang ketujuh sebagai tanda kesyukuran terhadap nikmat anugerah anak. Bagi anak lelaki dua ekor kambing dan anak perempuan seekor kambing. Daging aqiqah yang disembelih dimasak dan disedeqahkan kepada orang fakir dan miskin.

Cara Layanan terhadap Anak-anak


Betulkan Persepsi Anda

Persepsi seseorang terhadap sesuatu akan menentukan bentuk tindakan seseorang. Justeru sangat merbahaya bagi ibubapa mempunyai persepsi yang salah terhadap anak-anak. Situasi ini akan mendorong ibubapa menghukum atau melebel anak-anak dan ia merupakan tindakan yang silap. Mengapa? Kerana peranan ibubapa adalah membimbing dan menunjuk ajar anak bukan menghukum dan mengadili mereka. Ibubapa perlu terus membimbing walau berhadapan dengan kegagalan beribu kali.


Justeru persepsi ibubapa terhadap anak-anak haruslah:

  • Anak ini amanah Allah yang perlu diurus dengan sebaik mungkin dan akan dipertanggungjawabkan.

  • Anak ini adalah anak yang bertuah, yang Allah titipkan buat ibubapa.

  • Anak ini adalah anak soleh yang bakal mendoakan keduaibubapa nanti.

  • Anak ini adalah anak yang bijak bakal memimpin masyarakat dan dunia.

  • Anak ini adalah anak syurga yang akan memimpin tangan kedua ibubapa ke syurga dan apa-apa persepsi positif pada anak.

Adalah suatu yang silap untuk menganggap anak ini sebagai nakal, degil, bodoh, bebal, ahli neraka, anak tak berguna dan berbagai tanggapan negatif.


Konsep Layanan Islam Terhadap Anak


Dalam melayan anak-anak, ibubapa perlu menggunakan pendekatan berikut:


1. Kasih Sayang

Kasih sayang adalah perkara asas dalam melayan anak-anak. Orang yang sentiasa mengasihi akan disayangi. Kasih sayang perlu difahami dengan maksud memberikan keadilan untuk kehidupan anak-anak. Kasih sayang bukan bermaksud memenuhi keinginan anak-anak semata-mata tanpa batasan atau membiarkan anak-anak tanpa kawalan dan bimbingan.


Justeru kasih sayang perlu diaplikasikan seperti berikut:

  1. Bercakap dengan bahasa yang baik.

  2. Mesra dan bergurau.

  3. Tidak memarahi / membebel

  4. Bertegas.

  5. Memberikan apa yang diperlukan oleh anak mengikut tahap umur dan keperluan semasa.

  6. Malatih anak mengawal emosi dan keinginan.

  7. Memuji dan menghargai.

  8. Latih anak berdikari.

  9. Membimbing dan memberi tunjuk ajar.


2. Bimbingan

Ibubapa bertanggungjawab untuk membimbing anak-anak dalam segala aspek. Anak-anak dilahirkan dalam keadaan kosong. Mereka belajar sedikit demi sedikit untuk mengenali kehidupan. Justeru ibubapalah yang berperanan membimbing mereka menjadi manusia yang berguna dan mampu berperanan sebagai khalifah Allah. Ibubapa jangan pernah kenal putus asa atau jemu dalam membimbing anak-anak. Dari kecil hinggalah mereka dewasa ibubapa harus bersedia untuk membimbing mereka.


Nasihat. Nasihat adalah satu pendekatan yang perlu selalu digunakan dalam membimbing anak-anak. Anak-anak akan melakukan kesilapan dan kesalahan. Itulah lumrah manusia dalam kehidupan. Nasihat yang baik akan mudah diterima oleh anak-anak dan kembali kepada yang benar. Elakkan teguran dengan sindiran, caci maki, herdik dan marah, membebel, mengungkit dan menyalahkan, fikirkan penyelesaian masalah bagi permasalah yang berlaku.


Maafkan. Ibubapa harus menyedari bahawa anak-anak akan sering melakukan kesalahan dan kesilapan khususnya ketika mereka berada diusia remaja. Ini disebabkan tahap perkembangan pemikiran mereka serta persekitaran yang mereka berada. Kemungkinan untuk tersilap, terlanjur, terleka adalah besar, Sedarilah anak-anak perlu belajar banyak perkara berkaitan dengan kehidupan ini, mereka turut belajar melalui pengalaman mereka.


Justeru ibubapa perlu berlapang dada, sedia menerima kesilapan dan kesalahan mereka dan terus membimbing sesuai dengan ajaran Islam. Islam mengarahkan kita agar sentiasa memberi kemaafan kepada orang lain, lebih-lebih lagi anak-anak. Anak-anak tidak akan jadi anak derhaka jika ibubapa memaafkan mereka, tidak menghukum mereka bahkan menerima mereka seadanya dan membiimbing mereka agar sentiasa takut kepada Allah s.w.t. Sekiranya mereka terlanjur, maka ibubapalah insan yang paling dekat dengan mereka. Kunci untuk membina hubungan yang baik dengan anak-anak adalah memberikan kemaafan kepada mereka.


Berbincang. Apabila anak-anak meningkat dewasa dan mereka sudah mula mengenal kehidupan, maka budayakan berbincang dengan anak-anak. Cara ini akan menjadikan anak-anak lebih berketerampilan dan berkepimpinan, mempunyai keyakinan diri dan mampu menghadapi kehidupan ini dengan lebih baik. Ibubapa perlu buang perasaan ego dan rendahkan diri sedia menerima pandangan dari anak-anak dan beri peluang mereka membuat perancangan dan keputusan.

Seni Melayan Anak.


Melayan anak-anak adakah satu seni dan kemahiran yang perlu dipelajari. Kemahiran ini sangat penting dalam proses mengasuh dan membesarkan anak-anak. Proses mengasuh dan menjaga anak-anak bukan sahaja dari sudut pemberikan makanan yang baik, menjaga kebajikan anak-anak seperti pakai dan tempat tinggal, tetapi yang sangat penting adalah cara layanan ibubapa terhadap anak-anak yang akan mempengaruhi dan membentuk sikap anak-anak.


Untuk membentuk sikap yang baik dan terpuji, para pengkaji psikologi perkembangan dan tingkah laku manusia menyarankan umur yang paling sesuai adalah umur 0 – 7 tahun. Dalam pepatah melayu juga ada mengatakan melentur buluh biarlah dari rebungnya.


Justeru layanan terhadap anak di awal usia akan menentukan sikap anak-anak bila dewasa nanti. Sifat buruk anak-anak sukar diubah bila sudah dewasa. Bagaimanakah sebenar melayan anak-anak dengan cara yang terbaik? Banyak pandangan, ada yang kata perlu tegas supaya anak dengar kata, ada yang kata perlu beri kebebasan dan macam-macam.


Dalam hal ini ada diriwayatkan bahawa Saidina Umar al-Khattab r.a telah menyarankan 4 cara berurusan dengan anak-anak. "Bermainlah dengan anakmu di umur tujuh tahun pertama, dan displinkan di umur tujuh tahun kedua, seterusnya berkawan dengannya di umur tujuh tahun ketiga dan selepas itu lepaskan ia sendiri"


1. Layan anak dengan Bermain

Secara umumnya, anak-anak berusia 0-7 tahun perlu dilayan dengan cara bermain. Maksudnya ibubapa perlu bina hubungan dengan cara bermain, mengajar sambil bermain, tidak serius atau terlalu garang sehingga tidak ada ruang untuk bergurau dan bermain. Bagi anak-anak dalam usia ini cara pelajaran mereka adalah bermain.

Dalam tahap ini pembelajaran anak-anak lebih kepada membina keyakinan diri, mempercayai orang lain, menguatkan otot dan psikomotor, skil komunikasi, bersosial dan lain-lain.


2. Layan Anak dengan Tegas.

Tegas bermaksud tetap dengan peraturan. Bagi anak-anak berusia 8-14 tahun, atau awal remaja, anak-anak perlu didisiplinkan dengan peraturan. Dalam apa jua urusan dengan anak-anak di tahap ini, mereka perlu memahami bahawa di sana ada peraturan yang perlu dipatuhi. Untuk menjadi manusia yang berjaya perlu ada peraturan dan kekuatan mematuhi peraturan.


Ketegasan dengan peraturan ini sangat diperlukan kerana di tahap ini anak-anak sendang mencari dan membina identiti diri serta hala tuju kehidupan. Kekuatan mematuhi peraturan merupakan satu budaya yang terbentuk hasil dari pengulangan dan kebiasaan. Justeru anak-anak di peringkat ini perlu didisplinkan dengan peraturan, samada peraturan rutin kehidupan mahupun peraturan agama. Proses ini akan membentuk budaya yang sangat penting apabila mereka masuk ke peringkat remaja iaitu umur 15-21 tahun.


​Peranan ibubapa sebagai contoh dalam menjalani kehidupan berperaturan sangat penting, dan di usia inilah anak-anak perlukan contoh atau idola dalam membentuk personaliti diri di samping perlu kemesraan dalam ketegasan bersama anak di awal remaja.


3. Layanan dengan berkawan.

Apabila anak sudah mencecah usia remaja antara 15-21 tahun, sesuai dengan perkembangan emosi dan psikologi mereka, ibubapa perlu melayan mereka sebagaimana melayan teman dan rakan. Layanan seperti untuk membangunkan potensi anak-anak supaya berdikari sepenuhnya apabila masuk usia dewasa iaitu 21 tahun ke atas.


Dalam usia remaja sering berlaku konflik antara anak-anak dan ibubapa, dan yang ketara ialah apabila anak-anak tidak mendengar kata ibubapa. Justeru ibubapa perlu memahami tahap perkembangan ini dan melayan mereka sesuai dengan tahap umur ini. Melayan seperti kawan bermaksud tidak ada unsur paksaan dan tekanan dan asas utama komunikasi adalah perbincangan, saling hormat menghormati saling mempercayai sebagaimana seorang kawan. Anak-anak yang sudah melalui tahap pertama dan kedua dan diperkukuhkan pembangunan sikap dan potensi di peringkat ketiga akan menjadi seorang yang mempunyai daya kepimpinan yang tinggi.


Sebaliknya jika anak-anak diperlakukan sebagai kanak-kanak, maka anak-anak remaja ini akan memberontak, tidak hormat ibubapa dan terkadang memilih untuk bersama kawan-kawan berbanding ibubapa mereka sendiri dengan berbagai alasan seperti tidak mahu dikongkong atau mahu cari kehidupan sendiri.


4. Layan anak sebagai seorang insan.

Apabila anak sudah dewasa, 21 tahun dan ke atas, berilah peuang kepada mereka untuk menjadi seorang individu yang berdikari dalam mengurus diri sendiri sebagaimana orang lain. Beri mereka kebebasan dalam membuat keputusan berkaitan dengan kehidupan mereka. Adalah tidak sesuai ditahap ini mencampuri urusan anak-anak dengan cara mendesak, memaksa apatah lagi menentukan cara hidup mereka. Apa yang ibubapa lakukan sekiranya ada perkara yang tidak betul adalah menggalakkan berbincang, memberi nasihat dan pandangan sebagaimana ibubapa berurusan dengan orang dewasa lain.


Pembentukan Sikap Anak


Baiknya seseorang dilihat dari sudut sikap dan pekertinya. Untuk membentuk sikap anak-anak, ia bukanlah pelajaran yang dipelajari dalam bilik darjah tetapi ia merupakan proses pembelajaran yang panjang bermula dari anak-anak lahir hinggalah mereka meingkat dewasa. Anak-anak belajar sikap melalui persekitaran, dari ibubapa, adik beradik dan kawan-kawan. Apa yang mereka lakukan, mereka lihat, mereka dengar, mereka alami dan dilakukan berulang-ulang akan akhirnya menjadi budaya dan sikap mereka.


Justeru, sikap, tingkahlaku dan keperibadian anak-anak perlu dibentuk sedari usia kanak-kanak. Pakar psikologi menyarankan untuk mebentuk nikai dan sikap perlu dari usia 0-7 tahun, selepas itu proses membentuk sikap dan nilai agak sukar dan mencabar.


Pembentukan Sikap Anak-anak


Terdapat 3 faktor utama mempengaruhi pembentukan sikap anak-anak.


1. Keturunan

Keturunan adalah antara faktor yang mempengaruhi sikap anak-anak. Secara genetiknya anak-anak akan dipengaruhi oleh genetik ibubapanya. Justeru Islam menyarankan agar memilih pasangan dari keturunan yang baik-baik. Namun faktor ini bukan sesuatu yang muktamad pasti, kerana hidayah Allah akan diberikan kepada sesiapa yang Allah kehendaki, dan jika seseorang berusaha untuk menjadi baik, insyaallah ia boleh menjadi baik.


2. Pemakanan

Pemakanan juga antara fakor yang sangat mempengaruhi sikap anak-anak. Makanan yang baik akan melahirkan anak-anak yang baik. Banyak kajian di Barat menunjukkan pengambilan makanan yang tidak baik seperti makanan ringan dan segera mempengaruhi sikap anak-anak seperti hiperaktif dan lain-lain. Islam pastinya telah menyarankan agar mengambil makanan yang halal, bukan sekadar halal, tetapi yang tayyib dan baik.


​3. Persekitaran

Persekitaran bermaksud semua lingkungan anak-anak membesar, ia merangkumumi kehidupan dalam rumah Bersama ibubapa, datuk, nenek dan adik beradik, persekitaran sekolah, guru-guru, rakan-rakan, dan persekitaran masyarakat dan media masa. Semua elemen tersebut banyak mempengaruhi pembentukan sikap anak-anak.

Persekitaran itu pula boleh dibahagikan kepada 3 elemen;​


1. Peraturan

Peraturan memainkan peranan yang sangat penting kerana di sana ada yang boleh dan tak boleh, peraturan perlu ada dalam semua aspek kehidupan. Individu yang sedia mengikut peraturan adalah individu yang akan berjaya di dunia dan akhirat.


2. Contoh teladan

Anak-anak kecil tidak dapat menilai baik dan buruk, betul atau salah, apa yang dilihat orang lain boleh lakukan maka ia akan meniru dan akhirnya menjadi sikap mereka. Ibubapa perlu berhati dalam melakukan tindakan, percakapan di hadapan anak-anak kerana mereka akan mudah sekali meniru dan apa yang ibubapa buat segalanya dianggap betul.


3. Komunikasi

Respon balas ibubapa dan persekitaran terhadap anak-anak akan memberi kesan sama ada kesan positif atau negatif terhadap anak-anak. Respon positif akan membentuk sikap yang positif manakala respon negatif akan membentuk sikap negatif pada anak-anak. Kerana itulah Islam menekankan komunikasi yang baik, bercakap yang benar atau diam, berkata benar, berkata dengan lembut , kasih sayang dan lain-lain


Kesimpulan.

Ibubapa tidak dapat lari dari tugas asasi membangun dan mendidik anak-anak. Kehidupan yang dilalui semuanya adalah pembelajaran untuk anak-anak kerana anak belajar seara formal dalam akademik di sekolah, tetapi anak-anak belajar tentang kehidupan bermula di rumah dari ibubapnya. Justeru ibubapa sememangnya tidak boleh melarikan diri dari tanggungjawab mendidik anak-anak tentang erti kehidupan yang sebenar dan membangunkan skil-skil yang diperlukan untuk menjadikan kehidupan mereka berjaya di dunia dan akhirat.


Rata-rata ibubapa membesarkan anak-anak dan mendidik berdasarkan kepada warisan dan perasaan, tidak ramai berasaskan kepada ilmu keibubapaan yang betul. Ini menjadikan proses membangun masyarakat tidak berjalan dengan baik dan masalah masyarakat khususnya yang melibatkan anak-anak remaja seolah-olah tiada kesudahan.


Ajaran Islam penuh dengan panduan-panduan yang sangat baik untuk ibubapa mendidik dan membesarkan anak-anak. Nabi Muhammad s.a.w sendiri sebagai contoh hidup bagaimana menjadi pendidik terbaik membangun generasi muda dan kanak-kanak. Banyak sahabat-sahabat kecil yang membesar di tangan Rasulullah menjadi pemimpin ummah sepanjang zaman.


Justeru, para ibubapa kuasailah ilmu keibubapaan Islam agar kita membesarkan anak-anak kita sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah s.w.t pencipta manusia, dan kita dapat selamatkan diri kita dan ahli keluarga kita dari siksa api neraka. Seterusnya ganerasi kita mampu menjadi agen perubah dan pengislah masyarakat, menjadi sebaik manusia, sentiasa memberi manfaat kepada orang lain.


by Muhidin Mokter

227 views0 comments

Recent Posts

See All